Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Thursday, 29 December 2011

Inilah Nasibku

Pulau Pinang negerinya baru,
Kapten Light menjadi Raja,
Bila terkenang zaman dahulu,
Duduk mengalir air mata,

Orang Melayu di Pulau Pinang sudah mula hilang kedudukan mereka dalam negeri pulau mutiara yang membangun dengan pesat dan pantas hasil daripada pengisytiharannya sebagai pulau bebas cukai oleh British.

Deretan kedai-kedai dan rumah-rumah batu telah diduduki oleh ‘orang lain’, orang-orang Melayu terpaksa berpindah daripada pembangunan bandaraya Pulau Pinang kerana:

1.       Mereka menjual hartanah mereka kerana tawaran untuk membeli hartanah mereka begitu tinggi.
2.       Mereka semua miskin dan tidak mampu membeli atau menyewa bangunan kedai atau rumah kediaman yang didirikan, selepas menjual tanah mereka.
3.       Apabila pembangunan sampai ke kawasan orang Melayu, mereka sekali lagi menjual tanah dan berpindah jauh daripada pembangunan.

Lama-kelamaan mereka akan terus tenggelam dalam masyarakat ‘asing’ yang semakin bertambah di kawasan yang telah dibangunkan dan hidup mewah. Itulah nasib hidup, menjadi kumpulan orang yang terasing di negeri sendiri. Maka mengalirlah air mata mereka.

Seperti yang terungkap di dalam lirik ‘Anak Kecil Main Api’ yang memetik ungkapan ‘TANAH DIPIJAK MILIK ORANG”. Dan ungkapan ini akan menjadi realiti kepada orang Melayu jika mereka sering berundur dan melarikan diri dari pembangunan.

Pesoalannya:

1)      Sampai bilakah orang dari golongan yang berbangsa Melayu ini akan terus lari dari pembangunan?
2)      Siapakah yang benar-benar akan membela nasib golongan ini sedangkan hulubalang-hulubalang yang dipilih menduduki takhta singgahsana sering bertelagah sesama mereka?
3)      Akan adakah realiti dari ungkapan “TANAH DIPIJAK MILIK ORANG”?

Dengan mengungkap kata-kata daripada mantan Perdana Menteri Tun Matahir Bin Mohammad...

Ini jaminan yang diberi kepada bangsa Melayu. Kita akan terus Melayu walaupun hanya menjadi pemandu kereta, buruh kasar, budak pejabat. Kita Melayu juga. Tak perlu mengalir air mata.

Wednesday, 28 December 2011

Faktor yang membentuk ETIKA seseorang...

Kita tahu bahawa Negara Malaysia mempunyai berbilang bangsa dan anutan agama. Kebanyakan orang ramai masih lagi keliru atau tidak tahu dengan apa yang dimaksudkan dengan etika. Etika adalah berkaitan dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh seseorang inidivu samada ianya adalah salah atau betul, buruk atau baik. Etika tidak mempersoalkan keadaan seseorang manusia, sebaliknya etika mempersoalkan bagaimana seseorang manusia itu harus untuk bertindak atau berkelakuan. Etika berkaitan dengan konsep-konsep moral seperti kebaikan, kejahatan, benar, salah, kewajipan, tanggungjawab, keadilan dan merupakan teori tentang tingkah laku yang betul dalam kehidupan seharian. Etika akan membentuk seseorang individu dari segi kelakuan dan tindakan-tindakan yang akan di ambil.

Tun Mahathir Bin Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia (1991), menyatakan bahawa untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika sepenuhnya, yang rakyatnya kuat beragama dan mempunyai nilai kerohanian mesti disemai dengan nilai etika paling tinggi. Ini menunjukan bahawa pentingnya etika sebagai menjamin pembangunan negara yang mampan dan seimbang sepertimana yang dinyatakan dengan jelas sebagai salah satu di antara cabaran Wawasan 2020. Etika merupakan perkara penting untuk mengukuhkan perhubungan dalam sesebuah masyarakat sehingga dapat menjamin kewujudan, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan di dalam masyarakat di Negara Malaysia ini.

Seseorang individu mesti mempunyai keperibadian yang baik dan boleh dipuji jika ingin dianggap sebagai seorang individu yang bermoral di mata masyarakat sekeliling. Ini disokong oleh Wallace, JD. (1978), di mana beliau telah banyak membincangkan mengenai akhlak-akhlak mulia dan jahat serta membuktikan bahawa keperibadian yang mulia boleh membawa kepada ketenteraman hidup di dalam masyarakat.

Faktor-Faktor Yang Membentuk Etika Individu

Untuk membentuk etika individu yang mampan, beberapa faktor akan dibincangkan demi menjamin pembangunan negara untuk mencapai Wawasan 2020. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi etika individu adalah faktor keluarga, faktor rakan sebaya, faktor situasi dan dari pengalaman hidup. Faktor-faktor ini boleh menjadikan seseorang individu tersebut menjadi lebih baik kelakuannya atau sebaliknya di dalam kalangan masyarakat.

Kebanyakan remaja di negara kita ini, lebih terdedah kepada masalah etika dan tingkah laku yang mana hampir setiap hari kita sering diperdengarkan dengan kes-kes jenayah seperti rompak, rogol, dadah, ponteng sekolah, bunuh, curi, rempit, seks bebas, khalwat, lari dari rumah dan berbagai-bagai lagi masalah yang melibatkan remaja. Tidak dinafikan, faktor-faktor ini juga boleh membentuk remaja etika yang baik dan membentuk berbudi pekerti yang mulia mengikut norma-norma masyarakat. Pihak-pihak yang berwajib seharusnya peka terhadap punca-punca dan faktor-taktor kemerosotan etika di kalangan remaja di dalam membentuk generasi yang mempunyai kelakuan yang baik sejajar dengan pembangunan negara kerana mereka inilah bakal mewarisi kemajuan dan kesejahteraan negara.

Sistem-sistem pendidikan di Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Menengah dan Rendah serta Kementerian Pendidikan Tinggi telah mewujudkan matapelajaran-matapelajaran untuk membentuk keperibadian yang baik di kalangan remaja apabila mereka meningkat remaja kelak. Antaranya matapelajaran yang diwujudkan di sekolah-sekolah adalah seperti Pendidikan Islam, Moral dan Sivik bagi membentuk rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Akan tetapi masih ada lagi masalah-masalah tentang etika dan kelakuan yang ditimbulkan oleh para remaja. Mereka seolah-olah tidak memahami kepentingan etika di dalam masyarakat demi pembangunan negara dengan mengabaikan tanggungjawab-tanggungjawab sosial.
 
Faktor Keluarga

Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka (1994), keluarga telah didifinasikan sebagai seisi rumahtangga yang terdiri daripada suami dan isteri atau berserta anak-anak. Keluarga adalah satu institusi yang rapat dengan seseorang individu atau kanak-kanak serta remaja. Ia boleh menjadi hub atau pemangkin untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku di dalam kehidupan seharian. Perkembangan personaliti remaja dibentuk sejak kecil lagi bersama keluarga seterusnya memberikan pengaruh yang amat besar kepada tingkah laku, sikap dan pemikirannya. Ini kerana, anak-anak akan mencontohi tingkah laku daripada ibu dan bapa mereka. Menjadikan ibu dan bapa sebagai idola untuk membentuk keperibadian anak-anak. Keharmonian sesebuah keluarga boleh membentuk sahsiah peribadi dan personaliti serta tingkah laku seseorang. Ini kerana apabila seseorang ahli keluarga mempunyai masalah ia akan dikongsikan bersama dan mencari jalan terbaik untuk penyelesaian bersama dari situ timbul perasaan sayang-menyayangi di antara satu sama lain.

Mahmood Nazar Muhammad (1993), tingkah laku remaja di dorong oleh konflik dan tekanan psikologi yang mana mereka mengalami konflik dalam keluarga mereka sendiri. Mereka gagal untuk melihat keluarga sebagai satu persekitaran yang sihat dan memberikan kehabagiaan serta rasa seronok kepada mereka. Oleh yang demikian, faktor keluarga adalah penyumbang terbesar kepada pembentukan personaliti, tingkah laku dan sikap.

Dengan perkembangan dunia yang pesat dengan kos taraf hidup yang semakin meningkat, ibubapa telah menyerahkan peranan serta gaya asuhan kepada pengasuh atau pembantu rumah yang dibayar yang berperanan untuk mengasuh anak-anak mereka. Sementara ibubapa sibuk diluar sana untuk mencari wang dan pekerjaan bagi menampung keluarga. Dengan pengabaian ini secara tidak langsung boleh mempengaruhi anak-anak mengikut acuan asuhan pengasuh atau pembantu rumah dan tidak mengikut acuan asuhan ibubapa. Ibubapa mengambil sikap lepas tangan dengan tangungjawab membesarkan anak dan tangungjawab itu dipikul oleh pembantu rumah atau pengasuh.

Sikap sesetengah ibubapa yang amat mementingkan kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap perkembangan anak-anak mereka dan isu-isu sosial sememangnya merumitkan. Di kawasan bandar terutamanya, sesetengah ibubapa tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh yang sedemikian, para remaja telah merasakan diri mereka bebas untuk berkelakuan negatif tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam, sosial dan masyarakat. 

Ini menyebabkan corak gaya asuhan terlalu longgar dan anak-anak sudah biasa dengan kelonggaran tersebut tanpa ada sebarang pemantauan yang dilakukan oleh ibubapa baik dari segi pelajaran, sosial, pergaulan dan kelakuan. Pada kebiasaannya ibubapa tidak akan mengambil peduli akan perkembangan anak-anak mereka terutama dari segi kelakuan dan pendidikan. Ini memaksa anak-anak berkelakuan mengikut kata hati mereka sendiri tanpa sebarang sekatan dan secara tidak langsung anak-anak ini akan ketinggalan di dalam pembelajaran.

Sementara itu ada juga ibubapa yang mengamalkan asuhan secara kongkongan terhadap anak-anak mereka dengan ketat dan ini juga telah menimbulkan satu pemberontakan tingkah laku yang menyebabkan anak-anak berkelakuan agresif.

Bandura dan Walter (1959), menyatakan dalam kajiannya bahawa remaja yang agresif kelakuannya atau etikanya adalah dari keluarga yang mengamalkan corak disiplin yang terlalu ketat yang menghukum anak-anak mereka secara fizikal berlebihan. Jika corak asuhan terlalu longgar, anak-anak akan berkelakuan sesuka hati. Ini disebabkan ibubapa tidak mengambilpeduli dengan apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka.
 
Terdapat juga ibubapa yang menjadi pendorong kepada masalah dan sifat vandalisme di kalangan remaja. Sebagai contoh, ketika sedang memandu kenderaan ibubapa membuang sampah atau kulit buah-buahan serta tidak  menghiraukan papan-papan tanda  had kelajuan yang terdapat disepanjang jalanraya. Ini akan menjadi ikutan kepada anak mereka apabila mereka meningkat dewasa kelak dan dipertontonkan kepada anak-anak mereka pula. Anak-anak juga cenderung kepada gejala menghisap rokok kerana ibu atau bapa mereka adalah penghisap rokok tegar.

Ada remaja disesetangah tempat yang terjebak  dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif. Vandalisme dilakukan oleh remaja yang ingin bebas dan berlatarkan keluarga yang bermasalah. Selain itu kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini. 

Oleh yang demikian, ibubapa harus tahu bagaimana untuk memberikan asuhan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Sewajarnya ketika proses pengasuhan, ibubapa menerapkan nilai-nilai agama dan nilai-nilai moral yang murni yang akan menjadi ikutan kepada anak-anak agar tidak berkelakuan agresif, memberontak dan berkelakuan tidak baik. Sekiranya anak-anak diterapkan dengan ajaran-ajaran agama dan mematuhi ajaran-ajaran tersebut, kemungkinan anak-anak ini mempunyai etika dan perilaku yang baik dan dapat menghindarkan diri dari etika yang negatif. Ibubapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan perasaan di hati anak-anak remaja. Kesedaran perlu diterapkan  untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

Anak-anak dan remaja perlu diberikan bimbingan berterusan, memberikan perhatian dalam pencapaian akedemik dan pembentukan peribadi serta tingkah laku. Memberikan contoh keperibadian dan kelakuan yang baik untuk menjadi ikutan anak-anak sepanjang proses pembentukan peribadi mereka supaya mereka akan terbawa-bawa tindakan kelakuan yang baik ini sehingga mereka dewasa.

Faktor Rakan Sebaya

Menurut Hazil Abd Hamid (1990), Rakan sebaya diistilahkan sebagai golongan atau kumpulan kanak-kanak atau remaja yang rata-rata mempunyai lingkungan umur yang sama. Oleh yang sedikian,  rakan sebaya merujuk kepada kanak-kanak atau remaja yang sama umurnya, yang menjadi pendengar setia, bersedia untuk membantu, dan bersama-sama tatkala ketika sedih mahupun gembira.

“Pengaruh berkenaan memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memberi pengaruh terhadap tingkahlaku dan penglibatan golongan remaja dalam aktiviti anti-sosial, seperti lari dari rumah dan penagihan dadah,” Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud (2011).

Mereka memerlukan seorang rakan yang boleh menemani mereka sepanjang perkembangan zaman remaja. Dengan adanya rakan-rakan tersebut mereka boleh bertukar-tukar fikiran, berkongsi masalah dan bantu-membantu ke arah kebaikan atau sebaliknya. Kecenderungan remaja terhadap pengaruh rakan sebaya paling tinggi adalah pada umur 14 tahun hingga 18 tahun terutama para remaja yang mempunyai konflik dengan ibubapa dan di rumah. Dengan ini, remaja lebih cenderung kepada pengaruh rakan sebaya dan menurut tingkah laku anti sosial kerana mereka berada dalam proses membebaskan diri daripada pengaruh ibubapa atau keluarga. Mereka ini cuba untuk berfikir untuk diri mereka sendiri tanpa memikirkan akibat daripada kelakuan dan perbuatannya.

Pengaruh rakan sebaya juga amat serius kerana ia boleh menyebabkan vandalisme. Mereka mudah untuk meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Ia akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, terutama bagi remaja yang tercicir dalam pendidikan dan menghadapi masalah keluarga. Mereka yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan, Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berada di dalam kumpulan tersebut, maka akan timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.

Mereka akan membuat kelakuan sesuka hati, hilang pertimbangan diri dan kewarasan. Lebih nyata tindakan mereka ini telah terkeluar daripada norma-norma masyarakat tanpa mampu memikirkan kesan-kesan akibat daripada perbuatan mereka.

Remaja mudah terpengaruh dengan pujukan dan rayuan dari rakan sebaya yang akan menimbulkan masalah-masalah dan gejala-gejala negatif dan sosial. Antaranya kesan pengaruh yang boleh membentuk kelakuan atau etika remaja adalah menghisap rokok sebagai contoh. Dengan perasaan ingin mencuba dan ingin tahu tentang keseronokan menghisap rokok dan didorong oleh rakan-rakan sebaya maka mereka terus mencuba dan akhirnya terjebak dengan budaya menghisap rokok, gengsterime, bergaduh, buli, samun, penagihan dadah dan samun.

Dari sudut positif, pengaruh rakan sebaya boleh menjadikan remaja-remaja sebagai seorang yang berguna dan berbudi pekerti yang baik sekiranya mereka memilih untuk bergaul dan mendapatkan rakan-rakan yang mempunyai etika yang baik. Mereka akan melakukan perkara-perkara yang tidak terkeluar daripada norma-norma masyarakat seperti membantu masyarakat atau komuniti ketika ada program-program kemasyarakatan melalui gotong-royong. Belajar bersungguh-sungguh demi masa depan mereka dan memikirkan tangungjawab sebagai seorang insane bergelar anak dan pewaris negara yang akan menerajui negara satu masa kelak.

Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk mewujudkan pelbagai program-program untuk remaja bagi membentuk etika remaja seperti Latihan Khidmat Negara, Hari Belia, menubuhkan kelab-kelab belia dan program-program kemasyarakatan. Namun masalah-masalah remaja tetap juga timbul dan semakin meningkat setiap hari.
  
Faktor Situasi

Faktor situasi juga memainkan peranan penting dalam membentuk etika seseorang individu sama ada baik atau buruk dan dapat diterima oleh masyarakat. Faktor situasi boleh dimaksudkan dengan suasana atau kedudukan individu di dalam keluarga, masyarakat atau komuniti, tempat kerja  dan media yang boleh membawa kepada tingkah laku positif atau negatif yang bergantung kepada situasi tersebut. Faktor situasi, pada kebiasaannya terbahagi kepada beberapa situasi antaranya situasi persekitaran, situasi dengan kerelaan atau situasi dengan paksaan.

Ramai di kalangan keluarga yang berpendapatan rendah tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, menetap di rumah-rumah pangsapuri yang menempatkan sehingga ribuan penduduk dan situasi di dalam rumah tersebut yang sempit terutama bagi keluarga yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai menyebabkan remaja-remaja dari keluarga tersebut mempunyai perasaan bosan dan kekurangan aktiviti di dalam rumah. Dengan situasi yang sedemikian, ia secara tidak langsung memaksa remaja-remaja ini memilih untuk menghabiskan masa di luar rumah samada  bersama rakan-rakan di kawasan sekitar atau melepak di kompleks membeli-belah untuk mendapatkan keseronokan. Di mana ia boleh terdedah kepada gejala-gejala tidak sihat seperti rempit, dadah, ganja dan vandalisme. Faktor yang sedemikian boleh membentuk tingkah laku yang negatif. Pada kebiasaannya rakan-rakan akan memujuk untuk melakukan sesuatu yang negatif demi keseronokan mereka. Bagi remaja yang mempunyai fikiran lebih matang, mereka akan menolak ajakan rakan-rakan dengan baik dan memberitahu bahawa apa yang akan mereka lakukan adalah tidak baik dan akan dipandang negatif oleh masyarakat. Faktor situasi sebegini adalah disebabkan oleh faktor situasi persekitaran.

Faktor situasi secara paksaan lebih memberi fokus kepada paksaan yang menyebabkan seseorang itu membuat keputusan untuk melanggar atau mengikuti norma-norma masyarakat setelah adanya unsur-unsur paksaan. Sebagai contoh, seorang anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah penunggang motosikal yang tidak berhenti semasa sekatan jalan raya dan cuba untuk melanggar anggota polis tersebut. Tembakan yang dilepaskan tepat mengenai penunggang dan mati di tempat kejadian. Pada kebiasaannya, polis akan bertindak menembak sekiranya mereka terpaksa kerana ada unsur-unsur paksaan untuk mempertahankan diri daripada serangan penjenayah. Sekiranya tiada unsur-unsur tersebut, anggota polis mungkin tidak mengambil tindakan untuk menembak tanpa membuat perhitungan terlebih dahulu. Walaupun mereka telah diberikan latihan tentang prosedur-prosedur untuk melepaskan tembakan, oleh kerana demi keselamatan diri dan mereka memikirkan perlu untuk melepaskan tembakan, maka mereka akan melepaskan tembakan untuk keselamatan diri kerana diancam oleh penjenayah.

Di mata masyarakat akan menuduh anggota polis tersebut adalah kejam dan tidak berprikemanusiaan dengan menembak mati pengunggang motosikal yang hanya melarikan diri dari sekatan jalanraya hanya kerana tiada lessen memandu dan bukannya merompak sedangkan anggota polis tersebut bertindak untuk keselamatan dirinya sahaja.
Kesimpulan

Faktor-faktor seperti keluarga. rakan sebaya dan situasi adalah penyumbang kepada pembentukan etika seseorang terutama remaja yang sedang mempunyai kecelaruan identiti dan tingkah laku dan memerlukan bimbingan daripada seseorang terutama ibubapa. Mereka berperanan untuk memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak remaja  cara-cara berkelakuan dengan baik mengikut norma-norma masyarakat. Ibubapa perlu untuk mendampingi anak-anak remaja agar mereka tidak merasa bosan dan kekosongan di dalam jiwa untuk membentuk mereka menjadi remaja yang berkelakuan baik dan matang untuk mereka melangkah ke alam dewasa.

Pengaruh rakan sebaya juga wajib dipandang serius. Ibubapa perlu mengetahui atau memantau dengan siapakah anak-anak mereka berkawan dan bergaul. Dengan pemantauan ini, anak-anak tidak merasakan mereka bebas untuk melakukan apa sahaja bila bersama-sama dengan rakan-rakan sebaya. Sekiranya mereka mengetahu mereka diperhatikan dan dipantau, mungkin kegiatan-kegiatan negatif tidak akan berlaku seperti buli, rempit, dadah, ganja, curi, ragut dan rompak.

Situasi juga menyumbang kepada pembentukan seseorang individu kerana sekiranya mereka tertekan, ia akan membolehkan seseorang bertindak diluar norma-norma masyarakat dengan tidak mampu untuk memikirkan samada apa yang dilakukannya memberikan kesan samada baik atau buruk dalam norma masyarakat. Oleh yang sedikian, seseorang itu harus berfikir terlebih dahulu samada baik atau buruk sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengambil tindakan agar tidak melanggar norma-norma masyarakat walau dalam keadaan situasi dipaksa.

Kerajaan telah memperuntukan sejumlah wang yang besar untuk mewujudkan program-program bersama-sama dengan badan-badan bukan kerajaan dan kelab-kelab belia untuk membentuk etika remaja-remaja kepada kelakuan yang baik demi masa depan negara. Salah satu program yang dijalankan adalah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang memfokuskan kepada daya tahan diri dan secara langsung akan membentuk keperibadian yang baik dikalangan remaja dan belia untuk menempuh masa depan yang lebih mencabar.

Adalah merugikan dan memalukan negara sekiranya generasi yang akan datang yang dicanangkan akan menjadi pemimpin di masa hadapan tidak mempunyai kelakuan dan etika yang baik disebabkan didikan dan faktor-faktor pembentukan peribadi yang tidak baik sejak mereka lahir, menempuhi zaman persekolahan dan seterusnya akan dibawa ke alam pekerjaan dan akan diwariskan oleh anak-anak mereka pula dan hingga akhirnya Negara Malaysia akan dikenali dengan negara yang rakyatnya tidak mempunyai kelakuan atau etika yang baik.
Rujukan

Bandura. A, Walter, R. (1959). Adolescent Aggression. Ronal Press.

Hazil Abd Hamid (1990). Sosiologi Pendidikan Dalam Perspektif Negara. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mahathir Mohamad. (1991). Malaysia: The way forward. Kertas kerja dibentangkan dalam mesyuarat The Malaysian Business Council, Kuala Lumpur.

Mahmood Nizar Muhammad (1993). Penghantar Psikologi: Satu Pengenalan Asas Kepada Jiwa Tingkah Laku Manusia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka

Pinvader (March, 2011). Kemahiran Penting Dalam Mengatasi Pengaruh Rakan Sebaya.
http://utusan-malaysia-online.com/kemahiran-penting-dalam-mengatasi-pengaruh-rakan-sebaya-kata-taib

Wallace, J.D. (1978) Virtues and Vices. Ithaca: Cornell University Press




Jom Renungkan..... Ekonomi Malaysia

Cuba lihat keadaan negara pada jangka waktu tahun 1998 hinggalah 2011 ini. Pada tahun 1997, krisis mata wang Asia belum berlaku. Pada masa itu negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik dengan pandangan masa depan cerah.
 
 
 
Pandangan ini, atau visi terungkap dalam apa yang dinamakan sebagai Wawasan 2020. Malaysia akan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 tanpa perlu menanggung ciri-ciri negatif negara Barat. Maknanya Malaysia akan menjadi negara maju menurut acuan sendiri, dengan orang Melayu mendapat tempat di mana kaum-kaum lain lebih lagi menikmati kemakmuran ekonomi negara. Tetapi orang Melayu dituntut juga berubah, maka keluarlah apa yang disebut konsep Melayu Baru, dalam erti kata bangsa yang cemerlang dan bukan saja berani menghadapi persaingan tetapi mampu untuk berdiri bangga dalam persada global.

Bagaimanapun, visi yang masih teguh pada tahun 1998 ini tercabar hebat apabila berlaku krisis kewangan Asia. Kerajaan Suharto tumbang dan gerakan Reformasi dilancarkan di sana. Indonesia hendak dijadikan liberal, demokrasi dan terlepas daripada cara pemerintahan tradisi Asia. Pengaruhnya sampai juga ke Malaysia.

Hasil pilihan raya umum tahun 1999 tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Tetapi pasak politik negara masih mantap. Barisan Nasional menang majoriti dua pertiga, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menjadi Perdana Menteri. Krisis kewangan Asia dapat dihadapi secara sewajarnya. Bagaimanapun beliau tentunya tahu keadaan sedang berubah dan persiapan bagi pasca Mahathir pun dilakukan.

Setelah pengundurannya dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menang besar dalam pilihan raya umum tahun 2004, maka kestabilan dapat dipulihkan dan keraguan sebelumnya terhadap perubahan dapat dihalang.
Namun begitu, pentadbiran Abdullah memperkenalkan banyak pendekatan baru bagi menghadapi realiti masyarakat yang sedang berubah.

Tetapi dalam memperkenalkan pendekatan baru ini, ternyata berlaku konflik dan antara mereka yang mahukan perubahan dengan pihak yang bimbang terhadap kesan perubahan itu. Sememangnya dirasakan sedang berlaku perubahan dalam masyarakat tetapi umumnya tidak menyedari bahawa ia diserlahkan melalui hasil pilihan raya 2008.

Sepanjang tahun 2009, semua pihak negara ini sedar bahawa perubahan besar sedang berlaku. Masyarakat mengalami transformasi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membawa gagasan-gagasan baru bagi mencerminkan perubahan ini. Gagasan Satu Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Ekonomi Baru (MEB) adalah manifestasi kepada usaha menghadapi perubahan. Maknanya, perubahan dalam masyarakat diterima dan diuruskan supaya ia dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara tanpa konflik atau menjejaskan keharmonian.