Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Thursday, 12 January 2012

KONSEP PERADABAN DAN TAMADUN

PENGERTIAN TAMADUN

Tamadun bermaksud peradaban, kemajuan (kebendaan dan kerohanian) kebudayaan, keilmuan, pergaulan, pendidikan, teknologi, akhlak dan sopan santun. Dalam bahasa Inggeris, tamadun diterjemahkan sebagai culture, renaissance, enlightenment dan civilisation.

Tamadun boleh didefinisikan sebagai sejumlah pencapaian dan pembangunan dalam segala perlakuan, pemikiran dan kemajuan (seperti sains dan teknologi, kesenian, kesusasteraan dan lain-lain) yang tinggi, baik, halus dan sopan ke arah pembentukan peribadi dan komuniti yang memilki personaliti, tatasusila dan budi pekerti yang terpuji untuk membentuk sebuah masyarakat atau negara bangsa(Chandra Muzaffar dan rakan-rakan, 2001).

Daripada fakta sejarah terdapat beberapa tamadun awal yang terkenal seperti Tamadun Cina, Tamadun India, Tamadun Yunani, Tamadun Mesir, Tamadun Islam dan lain-lain. Setiap tamadun itu mempunyai ciri-ciri sendiri. Di samping itu, terdapat beberapa persamaan dan perbezaan antara tamadun tersebut. 

Ciri-cirinya itu adalah seperti yang berikut:
  1. Bahasa dan tulisan yang menjadi alat komunikasi, untuk merakam dan menyampaikan warisan mereka kepada golongan yang terkemudian sebagai khazanah tamadun mereka.
  2. Terdapat sistem dan organisasi sosial yang teratur dalam hidup mereka yang merangkumi bidang-bidang politik, pentadbiran, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain.
  3. Terdapat penempatan khas bagi sesuatu masyarakat manusia sehingga mereka dapat menubuhkan kota, bandar, tentera dan lain-lain.
  4. Terdapat sistem perundangan dan sistem nilai yang teratur yang mengawal tindak-tanduk anggota masyarakat tersebut.
  5. Terdapat peninggalan hasil-hasil estetika mereka seperti falsafah, kesenian, kesusasteraan dan hasil kreativiti masyarakat dan perseorangan yang lain.
  6. Terdapat beberapa reka cipta tinggalan mereka yang mempunyai nilai teknologi yang tinggi seperti Falsafah Yunani, Tembok Besar China, Piramid Firaun di Mesir dan lain-lain.
 SUMBER TAMADUN

 Lahir dan kekalnya sesuatu tamadun biasanya dikaitkan dengan cara hidup sesuatu masyarakat. Dengan kata lain, cara hidup sesebuah masyarakat itulah yang menjadi sumber tamadunnya. Secara ringkasnya, sumber tamadun adalah berdasarkan tiga perkara, iaitu agama, budaya dan bangsa.
  1. Agama
    Setiap masyarakat hidup dalam suatu sistem kepercayaan yang unik. Sistem kepercayaan inilah yang mewarnai cara hidup masyarakat tersebut. Sifat dan peribadi seseorang itu berkait rapat dengan kepercayaannya. Sistem kepercayaan ini disebut agama. Masyarakat yang beragama Hindu melahirkan suatu tamadun yang berciri Hinduisme dalam tamadun mereka. Hal ini termasuklah dalam kesenian, kebudayaan, binaan dan sebagainya. Dalam Tamadun Mesir, misalnya, ada Firaun yang percaya kepada Tuhan yang Esa, sebab itu Piramid didirikan mengarah ke arah yang satu.

  2. Budaya
    Budaya masyarakat mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan tamadun masyarakat itu. Maknanya budaya menjadi sumber tamadun kepada sesuatu bangsa. Budaya ini termasuklah kegiatan ekonomi, perkahwinan, tatasusila, sosial, pendidikan dan sebagainya. Contohnya pakaian. Walau apa pun agama bagi sesuatu masyarakat itu, tetapi budayanya tetap budaya kaum itu, melainkan sedikit pengaruh agama dan pergaulan asing. Contohnya orang Cina dan India di Malaysia, walaupun mereka memeluk agama baru di Malaysia seperti Kristian dan Islam, tetapi budayanya, pakaiannya tetap yang menjadi budaya bagi kaum itu.

  3. Bangsa
    Bangsa juga menjadi sumber penting dalam melahirkan tamadun. Oleh sebab itulah terdapat beberapa tamadun yang disebutkan dengan nama bangsa seperti tamadun India, tamadun Cina, tamadun Greek, tamadun Yunani, tamadun Mesir dan lain-lain, melainkan tamadun Islam. Tamadun Islam tidak lahir mengikut bangsa, tetapi lahir dalam bentuk akidah dan syariah yang terkandung di dalamnya kepercayaan, perundangan dan nilai. Tamadun Islam melahirkan corak pemerintahan baru, cara ibadat, pergaulan baru, pengubatan baru, pakaian dan cara hidup yang semuanya baru.

Rujukan:
PENGAJIAN ISLAM (MPW2143) - OUM


No comments:

Post a Comment